PERTANDINGAN FUTSALL DAN NETBALL GRADUAN KECIL 2025

Kejohanan Futsal dan Netball merupakan acara tahunan yang penuh dinantikan. Pertandingan ini berlangsung dengan meriah, melibatkan kanak-kanak berumur 4, 5 dan 6 tahun dari pelbagai cawangan tadika. Mereka berlatih di tadika masing-masing sebagai persediaan sebelum tiba hari perlawanan, menjadikan acara ini bukan sahaja menyeronokkan, malah mendidik tentang disiplin dan usaha.


Acara dimulakan dengan senamrobik ringkas sebagai pemanas badan, diikuti dengan perlawanan futsal dan netball yang penuh semangat. Kanak-kanak bertanding mewakili cawangan masing-masing, sambil menunjukkan kemahiran, kerjasama berpasukan dan semangat kesukanan. Pelbagai karenah dan telatah comel adik-adik ketika bermain turut menceriakan suasana, membuatkan para penonton tidak henti-henti tersenyum dan ketawa kecil.

Sorakan padu daripada ibu bapa menjadikan suasana semakin gamat dan berwarna-warni. Keterlibatan ibu bapa memberi motivasi tambahan kepada anak-anak untuk terus bersemangat sepanjang perlawanan.

Di akhir acara, semua keletihan hilang apabila tiba saat penyampaian hadiah dan piala. Kanak-kanak pulang dengan penuh senyuman, bangga dengan pencapaian masing-masing, serta membawa pengalaman berharga tentang semangat juang, keyakinan diri dan nilai persahabatan.

Keselamatan juga diberi keutamaan – pasukan Bulan Sabit Merah private disediakan untuk bersiap sedia jika ada apa-apa kecemasan.